Monday, 28 February 2011

Pengawalan Media dalam Pembangunan Negara


"The media's the most powerful entity on earth. They have the power to make the innocent guilty and to make the guilty innocent, and that's power. Because they control the minds of the masses" Kata-kata ini merupakan sebahagian dari ucapan pejuang hak asasi manusia di Amerika, saudara Malcom X. uniknya petikan tersebut sesuai sekali untuk mengambarkan senario yang dihadapi oleh dunia pada hari ini. Media yang mana pada suatu ketika dahulu merupakan satu alat atau aset yang berguna untuk kerajaan juga boleh digunakan untuk menumbangkannya balik. 

Sejarah pembangunan media di Malasia memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia yang sedia ada sekarang. Dari peranan akhbar Utusan, Majlis dan lain-lain dalam meniup semangat kencang nasionalisme sehinggalah kepada badan pemerhati kerajaan dalam memantau hal-hal yang berkaitan ekonomi, politik, sosial mahupun soal keselamatan. 

Namun begitu mutakhir ini telah dapat diperhatikan bahawa peranan media sekarang ini tidak lagi terbatas diatas kertas, di corong radio atau disiarkan di televisyen tetapi sebaliknya media sekarang telah berevolusi seirng dengan manusia dan teknologi maklumat. Kemunculan berita diatas talian mahupun di internet yang mana telah digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak tertentu sebagai media alternatif tidak disangkal lagi keupayaan serta pengaruhnya terhadap masyarakat dunia khususnya di Malaysia. 

Kajian menunjukkan bahawa pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 para pengundi lebih suka untuk mendapat maklumat dan berita di Internet walaupun kesahihannya kadangkala dapat dipertikaikan. Ini sekaligus bertepatan dengan sifat manusia itu sendiri yang lebih gemar untuk mendapatkan maklumat yang berbentuk sensasi atau khabar angin. Ini merupakan perkembangan yang mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Ini membuktikan bahawa dasar kerajaan dalam mencelik IT kan rakyat Malaysia telah terlaksana kerana ramai yang telah tahu bagaimana hendak mengunakan Internet dan juga hak-hak mereka untuk mendapatkan maklumat. Waima pada masa yang sama majoriti rakyat Malaysia tidak lagi bergantung kepada satu sumber maklumat sahaja yakni media arus perdana yang mana masih lagi berada dibawah pemerhatian kerajaan. 

Pergerakan media-media alternatif akan menjadi bahaya dan duri dalam daging kepada kerajaan jika tidak dipantau sewajarnnya. Mujurlah baru-baru ini kerajaan telah mengenalkan satu akta yang baru terhadap blogger yang menulis di Internet. Bahana berita di Internet ini jika tidak dikekang akan memudaratkan kerajaan itu sendiri. Lihatlah sebagaimana di Mesir apabila Presiden Hosni Mubarak mengarahkan perkhidmatan Internet terpakasa dihentikan untuk mengelak rakyat marhaen Mesir dari menerima dan menyalurkan maklumat keadaan bumi Firaun itu kepada masyarakat seantero dunia. Begitu juga situasi di China apabila Google Inc telah diharamkan dari beroperasi di negara Tembok Besar tersebut kerana dituduh melindung dan menjalankan kegiatan subversif terhadap republik itu. 

Dalam konteks ini pasti ramai yang akan menyimpulkan bahawa tersekatnya kebebasan di Internet maka “matinya” kebebasan untuk bersuara. Kenyataan ini adalah kenyataan yang pandir sama sekali, harus diingatkan bahawa  kebebasan bersuara yang sering dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak sebenarnya mempunyai batasan dan garisan yang wajib dipatuhi. Jangan sama sekali membandingkan kebebasan bersuara Malaysia dengan Barat. Kita di Malaysia yang mana baru sahaja mencapai kemerdekaan pada 1957 dan masih lagi belum matang sepenuhnya didalam gelanggang politik. 

Hubungan diantara media dan politik nasional serta peranan mereka didalam agenda nasional merupakan setuatu yang penting dan menjadi subjek yang popular bagi pengkaji media. Di Malaysia ini sendiri media merupakan agen yang penting bagi sosio-politik, ekonomi dan perubahan budaya didalam masyarakat. Memetik kata-kata dari Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail “ adalah mudah sekali memperkatakan bahawa hanya akhbar yang bebas sahaja berkemampuan menjadi akhbar yang berkesan. Soalnya, adakah akhbar sahaja yang telah menjamin kestabilan dan kemakmuran yang kita nikmati semenjak tahun 1957? Yang sebenarnya, yang menjadikan negara kita stabil selama 32 tahun ini ialah intipati politik kita ataupun ‘watak kebangsaan’ kita, bukan akhbar bebas per se”. 

Ketika artikel ini ditulis, pembangunan Malaysia masih lagi mengikut hala tuju wawasan 2020 yang telah dilaksanakan oleh mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir. Pembangunan yang mapan dari segi material dan rohani tersangatlah penting ketika dunia tanpa sempadan semakin mengecilkan sempadannya. Adalah diharapkan media ini sendiri dapat meneruskan sebagai agen perhubungan untuk menggerak Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuannya yang sendiri.

No comments:

Post a Comment